AKTIVITI BERKUDA PERKASAKAN PEMBANGUNAN SAHSIAH PARA PELAJAR TAHFIZ DARUL QURAN MAIK
- Written by: admin
- Published in Berita Tahun 2025
- Hits: 156

Aktiviti menunggang kuda ini merupakan salah satu inisiatif Unit Kokurikulum Darul Duran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (DQ MAIK) dalam usaha memperkasakan pembangunan sahsiah pelajar melalui pendedahan kepada sukan berkuda yang berteraskan kemahiran, disiplin dan kawalan diri. Program ini juga bertujuan memupuk minat serta memberikan pengalaman langsung kepada para pelajar dalam mengenali dan mengendalikan Kuda secara profesional serta beretika.
Objektif utama program ini adalah meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran pengurusan risiko dalam kalangan pelajar dan mendedahkan pelajar kepada asas pengendalian dan penjagaan kuda. Selain itu, menyediakan ruang pembelajaran tidak formal yang menyokong pembangunan sahsiah dan mental pelajar.
Aktiviti ini telah dilaksanakan dalam empat sesi berasingan seperti berikut:
- 13 Jun 2025 (Jumaat) – Siswi
● 14 Jun 2025 (Sabtu) – Siswa
● 4 Julai 2025 (Jumaat) – Siswi
● 5 Julai 2025 (Sabtu) – Siswa
Kesemua sesi telah dijalankan di FS Desa Niaga bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang dengan penglibatan tenaga pengajar serta jurulatih berkuda yang bertauliah. Setiap sesi dimulakan dengan taklimat keselamatan dan pengenalan kepada asas penjagaan serta pengendalian kuda. Peserta turut diberikan latihan praktikal menunggang kuda secara berperingkat di bawah pemantauan jurulatih profesional. Aspek disiplin, komunikasi dan keberanian turut diterapkan sepanjang sesi berlangsung. Suasana program berlangsung dengan lancar, teratur dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak yang terlibat.
Secara keseluruhannya, aktiviti ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dengan penglibatan peserta yang aktif serta bermotivasi. Para pelajar menunjukkan minat yang tinggi terhadap sukan berkuda dan aktiviti luar yang mencabar namun menyeronokkan. Pihak penganjur mencadangkan agar aktiviti seumpama ini diteruskan dan dijadikan sebagai salah satu program tahunan di bawah Unit Kokurikulum DQ MAIK, di samping memperluas skop latihan untuk pelajar yang berminat menyertai sukan berkuda secara lebih serius.
#MAIK2025
#DarulQuranMAIK
