Arkib Berita

DARUL QURAN MAIK CIPTA KECEMERLANGAN DI IHTIFAL HUFFAZ ILMI KEBANGSAAN KALI KE - 10

Penuntut Darul Quran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih tempat keempat keseluruhan dalam Ihtifal Huffaz Ilmi Peringkat Kebangsaan Kali Ke-10, yang berlangsung di Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 7 hingga 12 Julai 2025.

Dalam pertandingan berprestij yang menghimpunkan institusi tahfiz dari seluruh negara ini, Darul Quran MAIK telah menyertai 13 kategori pertandingan, melibatkan pelbagai bidang seperti hafazan, seni suara dan komunikasi. Hasil komitmen tinggi serta bimbingan rapi para tenaga pengajar, pasukan MAIK berjaya mengumpul jumlah keseluruhan 18 mata, dengan pencapaian berikut:

  •  1 Johan
  •  3 Naib Johan
  •  2 Tempat Ketiga

Antara kategori yang disertai termasuklah Hafazan 30 Juzuk, 20 Juzuk, dan 10 Juzuk, selain acara Tarannum, Khat, Nasyid, dan Pidato dalam tiga bahasa – Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

Pencapaian ini bukan sahaja menyerlahkan potensi dan bakat pelajar dalam pelbagai disiplin, malah membuktikan kesungguhan Darul Quran MAIK dalam melahirkan huffaz yang holistik, berilmu, berkepimpinan serta berdaya saing.

Menurut pihak pengurusan, kejayaan ini adalah hasil daripada keberkesanan pendekatan pengajaran bersepadu dan bimbingan berterusan oleh para pensyarah, selain komitmen tinggi para pelajar yang gigih dalam menuntut ilmu dan memupuk sahsiah unggul.

Turut menyertai delegasi ke Ihtifal tersebut ialah seramai 31 orang siswa dan siswi, serta 8 pegawai pengiring terdiri daripada pensyarah dan kakitangan MAIK. Penyertaan aktif ini menjadikan Ihtifal sebagai medan penting bagi memupuk semangat persaingan sihat, mengukuhkan ukhuwah dan memperluas jaringan kerjasama antara institusi tahfiz seluruh negara.

Ihtifal Huffaz Ilmi Peringkat Kebangsaan merupakan program tahunan anjuran Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang bertujuan:

  • Meningkatkan penguasaan ilmu dalam kalangan huffaz
  • Mencungkil bakat dalam pelbagai bidang keilmuan dan kesenian Islam
  • Menyemai semangat persaingan sihat antara institusi tahfiz
  • Mengukuhkan ukhuwah Islamiah dalam kalangan pelajar dan pendidik

Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus memperkasakan institusi tahfiz serta memacu kecemerlangan pelajar Darul Quran MAIK dalam aspek hafazan, ilmu, dan sahsiah, seiring dengan visi melahirkan generasi al-Quran yang unggul dan berkualiti tinggi.

#MAIK2025

#DarulQuranMAIK


flickr
www.flickr.com

 

 

HUBUNGI KAMI

  • Telefon : 09-7744363
  • Faksmili : 09-7715 773
  • Emel : dqm [at] e-maik [dot] my
  • Laman Rasmi : darulquran.e-maik.my
  • Aduan / Cadangan / Pertanyaan: eAduan MTQ

JUMLAH PENGUNJUNG

Today: 28
Yesterday: 26
This Week: 92
This Month: 184
Total: 9,672