MAIK Peruntuk RM 1.8 Juta, Lahirkan Huffaz Berkualiti
- Written by: admin
- Published in Berita Tahun 2025
- Hits: 51
Melahirkan insan yang mampu mengkhatam hafazan 30 juzuk Al-Quran bukanlah suatu kerja mudah. Dalam melahirkan tahfiz yang berkualiti ia memerlukan ketekunan, disiplin yang berterusan dan pengorbanan serta komitmen dalam pelbagai perkara. Ini termasuk juga aspek peruntukan kewangan.
Justeru dalam perkara ini, pada tahun 2025, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah memperuntukan sebanyak RM1.8 juta untuk Darul Quran (DQ) MAIK. Ia merangkumi perbelanjaan utiliti, elaun pelajar, pembangunan akademik, pengurusan hal ehwal pelajar dan program-program pembangunan sahsiah.
MAIK melihat, kecemerlangan yang dicapai di peringkat Darul Quran MAIK ini tidak boleh terhenti begitu sahaja kerana selagi mana kita belajar mendalami dan mempertingkatkan penguasaan sesuatu perkara itulah, yang akan menjadikan kita seorang insan yang mulia dan berada pada tahap yang tinggi. Apatah lagi dalam ilmu Al-Quran.
Oleh itu, MAIK menerusi wang zakat telah menyediakan program bantuan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi seperti sepeti Biasiswa Sultan Ismail Petra MAIK. Ini adalah tajaan di peringkat ijazah pertama di luar negara dalam bidang pengajian Islam diberikan kepada pelajar lepasan Darul Quran MAIK. Ia tertakluk kepada syarat yang ditetapkan dan antaranya memperoleh keputusan akhir peperiksaan Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat sekurang-kurangnya PNGK 3.0 dan ke atas.
Untuk makluman bersama juga, sehingga Januari 2025, MAIK sedang menaja 20 orang pelajar lepasan Darul Quran MAIK yang menyambung pengajian di Mesir dan Indonesia.
Alhamdulillah, ini semua berkat daripada sumber wang zakat yang diterima oleh pihak MAIK dan kami manfaatkan dalam aspek pembangunan pendidikan. Semoga pahala ini jua sampai kepada semua pembayar zakat kami.
Ini menunjukkan bahawa komitmen pihak MAIK dalam mewujudkan kumpulan generasi tahfiz berkualiti menjadi keutamaan kami.
Alhamdulillah, pada kali ini seramai 32 pelajar semester enam sesi 2022 hingga 2025 yang telah berjaya mengkhatam hafazan Al-Quran 30 juzuk dalam tempoh lebih kurang tiga tahun pengajian di DQ MAIK.
Kesemua mereka ini diraikan hari ini, pada Majlis Khatam Hafazan Al-Quran Pelajar Darul Quran MAIK Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji. Lebih bermakna kerana kejayaan ini telah diraikan di hadapan ibu bapa, penjaga dan guru-guru mereka.
Pada hari ini mereka menerima sijil khatam yang disampaikan oleh Yang Amat Berbahagia, Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein, Timbalan Yang Dipertua MAIK. Majlis turut dihadiri Yang Berusaha Tuan Haji Muhamad Rasani bin Ramli, Setiausaha MAIK dan AF. Ustaz Haji Mahamad Azmi bin Zakaria, Mudir DQ MAIK.
MAIK juga menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Hafazan kepada tiga pelajar iaitu Amirul Aiman bin Ismail, Muhammmad Umar Aqil bin Zamri dan Muhammad Aidil bin Mohd Zamri yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500. Tahniah kepada semua.
Di sebalik kejayaan yang dicapai ini, duhai anak-anak ketahuilah, ada insan yang telah menjadi ‘tali hayat’ kepada kejayaan kalian, jangan lupakan pengorbanan insan-insan yang mulia ini. Tidak lain, mereka adalah ibu bapa, penjaga, guru-guru dan juga para pembayar zakat MAIK. Tanpa keberkatan mereka dengan izin Allah SWT anda tidak mampu menikmati kejayaan ini