Sejarah Penubuhan

PENUBUHAN MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN MAIK (MTQ MAIK)

Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK (MTQ MAIK) merupakan salah satu bahagian utama di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Ia berperanan melahirkan huffaz yang berwibawa untuk menjadi pelapis kepada generasi huffaz yang terdahulu. Sejarah mulanya berkesinambungan dari Kelas Pengajian Tahfiz Al-Quran yang telah diusahakan penubuhannya oleh Mufti Haji Muhammad Nor bin Ibrahim pada tahun 1980 di bawah kelolaan MAIK yang berpusat di Masjid Muhammadi. Penubuhan Kelas Pengajian ini bertitik tolak dari saranan yang telah dilontarkan oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan pada masa itu, Sultan Ismail Petra Ibni  Al- Marhum Sultan Yahya Petra. Generasi pertama kelas pengajian ini terdiri daripada 11 orang pelajar dan lima orang guru. Kelas pengajian ini terhenti seketika pada tahun 1989. 

Pada tahun 1990, usaha-usaha menghidupkan semula kelas pengajian ini telah dirancang dan diusahakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Hasilnya, pada 26 oktober 1991, MAIK telah bersetuju untuk menghidupkan kembali kelas ini dengan melakukan beberapa penambahbaikan. Beberapa perubahan telah dilakukan terhadap sukatan pelajaran untuk disesuaikan dengan peredaran dan perkembangan sistem pendidikan semasa. Pada 1 Januari 1993, satu permohonan telah diajukan kepada Pengarah Intitusi Pengajian Tahfiz Al-Quran Pusat Islam Malaysia Kuala Lumpur bagi mewujudkan program bersama iaitu Program Diploma Tahfiz Al-Quran Dan Al-Qiraat. Permohonan ini telah diluluskan oleh pihak Pusat Islam Malaysia dan berjalan hingga hari ini. Pada sesi pengajian seterusnya (1996 – 1998), seramai enam orang pelajar baharu telah menyambung pengajian mereka di sini bagi meneruskan lagi kesinambungan generasi huffaz MAIK.

Pada tahun 2001, sistem pengajian di Kelas Pengajian Tahfiz al- Qur’an MAIK ini telah diubah kepada sistem pengajian mengikut sistem semester, bukan lagi mengikut sistem tahun sebagaimana sebelum itu. Susulan itu, syarat-syarat kemasukan juga turut berubah dan lebih ketat lagi. Pada Disember 2006, lokasi kelas pengajian ini telah berpindah dari Masjid Muhammadi ke Kompleks Islam Jubli Perak, Panji, Kota Bharu Kelantan. Pada tahun 2007, nama Kelas Pengajian Tahfiz Al-Quran MAIK ditukar kepada nama Maahad Tahfiz Al-Qur’an MAIK. Pada tahun 2010 satu persefahaman (MoU) telah dicapai antara pihak Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK dengan Darul Quran JAKIM. Antara kandungan memorandum ini ialah pelajar-pelajar yang berjaya menamatkan pengajian akan dianugerahkan Diploma Tahfiz Al-Quran Dan Al-Qiraat. Mereka yang layak, boleh melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di IPT luar dan dalam negara. Pada tahun 2023, buat pertama kalinya MTQ MAIK telah menerima kemasukan 10 orang pelajar perempuan. Lokasi pengajian bertempat di bangunan Lot 5166 Mukim Pendek, Kota Bharu Kelantan.

 

Pihak pentadbiran telah bersetuju untuk membuat pertukaran nama Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK kepada Darul Quran MAIK secara rasminya pada 26 Oktober 2024 bersamaan 22 Rabiulakhir 1446H bersempena tarikh penubuhan Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK (26 Oktober 1991). Penggunaan nama Darul Quran ini juga turut mendapat persetujuan pihak Darul Quran JAKIM.

 

HUBUNGI KAMI

JUMLAH PENGUNJUNG

Hari Ini: 2
Kelmarin: 2
Minggu Ini: 13
Bulan Ini: 15
Jumlah: 394