Pelajar Darul Quran MAIK Sertai Hari Huffaz Selangkah Ke Menara Gading Tahun 2025
- Written by: admin
- Published in Berita Tahun 2025
- Hits: 41
Pelajar semester enam Darul Quran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (DQ MAIK) serta pelajar dari Lokasi Tambahan Darul Quran JAKIM yang sedang merancang perjalanan akademik mereka ke peringkat seterusnya telah menyertai Hari Huffaz Selangkah Ke Menara Gading.
Hari Huffaz Selangkah Ke Menara Gading pada kali ini diadakan di Dewan Muktamar, Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 17 Februari 2025. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan laluan pendidikan selepas tamat pengajian, dengan menghimpunkan institusi pengajian tinggi (IPT) serta wakil Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) JAKIM.
Sebanyak sembilan IPT serta SPH JAKIM turut serta dalam program ini bagi memberi input yang diperlukan oleh para pelajar.
Antara pengisian utama program ini, termasuk sesi taklimat oleh wakil dari Seksyen Ijazah Darul Quran JAKIM, Bahagian Education Malaysia (BEM), Unit Pusat Universiti (UPU), serta SPH JAKIM. Sesi ini memberikan maklumat penting mengenai peluang melanjutkan pengajian ke universiti tempatan dan luar negara, prosedur permohonan, serta skim pembiayaan yang tersedia bagi huffaz yang ingin menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
Penganjuran program ini diharapkan dapat membantu para pelajar DQ MAIK merancang masa depan akademik mereka dengan lebih baik serta mengukuhkan peranan golongan huffaz dalam pelbagai bidang di peringkat yang lebih tinggi.