DARUL QURAN MAIK TERUS KEKAL RELEVAN
- Written by: Rosmiza Binti Kasim
- Published in Berita Tahun 2025
- Hits: 178

Pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) komited dalam memastikan Darul Quran MAIK sentiasa berdaya saing dan kekal relevan.
Sempena Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan Darul Quran MAIK Bagi Tahun 2025 yang berlangsung di Hotel Renai pada 25 Jun 2025, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga Yang Dipertua MAIK telah mengumumkan beberapa inisiatif telah dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat tersebut.
Antaranya, pelaksanaan program bagi pengukuhan Bahasa Arab dalam kalangan pensyarah dan pelajar. Bagi tujuan ini, satu jalinan kerjasama telah dibuat diantara MAIK dan Universitas Darul Salam, Guntor, Indonesia pada 17 Jun 2025 yang mana Pensyarah dan Pelajar akan dihantar ke universiti berkenaan bagi mendalami Bahasa Arab.
Selain itu, dimaklumkan juga pertukaran Pensyarah turut menjadi agenda utama dalam kerjasama strategik ini.
Bagi menyokong perkara ini, program-program pengukuhan Bahasa Arab turut disusun dan diatur di peringkat Darul Quran MAIK dan insya Allah bermula tahun 2026, program rintis pra tahfiz dan pengukuhan Bahasa Arab akan diperkenalkan.
Program ini akan menjadi syarat tambahan wajib bagi pelajar yang ingin menyambung pengajian peringkat diploma di Darul Quran MAIK.
Selain daripada itu, bagi memastikan halatuju Darul Quran MAIK terus berada pada landasan yang tepat, 7 strategi utama telah digariskan iaitu;
1) Melahirkan graduan yang unggul dan berdaya saing
2) Mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif
3) Menjalinkan kerjasama pintar dengan rakan strategik
4) Menawarkan program pengajian berkualiti dan berakreditasi
5) Sebagai pemangkin pembangunan masyarakat
6) Membangunkan tenaga kerja yang efektif dan berprestasi tinggi
7) Menjadikan Darul Quran MAIK pusat rujukan al-Quran dan pengajian Islam
Insya Allah, pelan tindakan akan dirangka dan disusun dalam pelbagai inisiatif bagi memastikan strategi ini dapat dicapai dan dilaksanakan sebaik mungkin.
