Arkib Berita

KEJAYAAN TIDAK DATANG BERGOLEK

Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menzahirkan ucapan tahniah kepada 32 pelajar Darul Quran MAIK yang berjaya mengkhatamkan hafazan al-Quran dalam masa tiga tahun pengajian.

Sesungguhnya, kalian merupakan insan terpilih yang telah berjaya mengkhatamkan hafazan al-Quran sebanyak 30 juzuk dan ianya bukan suatu perkara yang mudah, kerana al-Quran merupakan mukjizat Allah SWT yang maha agung dan Allah SWT tidak sesekali memberi kepada seorang insan kecuali setelah melalui ranjau cabaran dan ujian yang getir.

“Saya percaya, kejayaan ini juga tidak akan datang bergolek tanpa hasil usaha, dorongan dan sokongan oleh pihak lain sama ada secara langsung mahupun tidak langsung,” ucap Yang Berhormat Mulia sempena Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan Darul Quran MAIK Bagi Tahun 2025 berlangsung di Hotel Renai pada 25 Jun 2025.

Faktor ini turut sama menjadi tulang belakang dan penyumbang terbesar terhadap kejayaan para pelajar sekalian yang mana hari ini mereka mampu berada di atas pentas ini.

“Oleh itu, saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada para pensyarah sebagai pendidik yang telah berjaya mendidik para pelajar tanpa mengenal erti penat dan jemu serta jutaan tahniah kepada para ibu bapa dan penjaga yang turut sama menjadi sumber motivasi dan inspirasi kepada kejayaan anak-anak pelajar pada hari ini.

Bagi yang bakal melangkah ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini seharusnya sentiasa tersemat di dalam jiwa bahawa ilmu pengetahuan merupakan landasan untuk mencapai kejayaan. Tanpa ilmu pengetahuan, individu, masyarakat, bangsa dan negara akan mundur dan ketinggalan dalam banyak perkara.

Oleh yang demikian, agama Islam sangat menuntut umatnya agar menimba ilmu pengetahuan semaksima mungkin bagi mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat sebagaimana yang dinyatakan oleh baginda Rasulullah SAW yang bermaksud “Menuntut ilmu adalah wajib (fardhu ain) ke atas setiap umat Islam sama ada lelaki dan perempuan”.

Majlis hari ini dihadiri Yang Berhormat Ustaz Mohd Asri bin Mat Daud ( Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri ), Yang Berhormat Sahibus Samahah Dato’ Kaya Perba, Dato’ Muhammad Shukri bin Muhammad ( Mufti Kerajaan Negeri Kelantan ), Yang Berhormat Dato’ Lela Perkasa Dato’ Haji Che Mohd Rahim bin Haji Jusoh ( Ahli Majlis MAIK ) dan Yang Amat Berbahagia, Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein ( Timbalan Yang Dipertua MAIK ).

Hadir sama, Yang Amat Berusaha Dr Hasnan bin Haji Ramli ( Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan ), Yang Berusaha Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim ( Pengarah Darul Quran JAKIM ) dan Al-Fadhil Ustaz Mahamad Azmi bin Zakaria (Mudir Darul Quran MAIK).

#MAIK2025

flickr

www.flickr.com

 

HUBUNGI KAMI

  • Telefon : 09-7744363
  • Faksmili : 09-7715 773
  • Emel : dqm [at] e-maik [dot] my
  • Laman Rasmi : darulquran.e-maik.my
  • Aduan / Cadangan / Pertanyaan: eAduan MTQ

JUMLAH PENGUNJUNG

Today: 5
Yesterday: 22
This Week: 84
This Month: 299
Total: 6,773