PERMULAAN KEPADA PERJALANAN YANG MASIH JAUH
- Written by: Rosmiza Binti Kasim
- Published in Berita Tahun 2025
- Hits: 172

Kejayaan yang dicapai 32 orang pelajar Darul Quran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada hari ini yang dapat menghafal 30 juzuk al-Quran dalam tempoh tiga tahun amatlah membanggakan sekali gus menyentuh hati kami.
Namun begitu, ingatlah duhai pencinta kalam suci Allah SWT, bahawa kejayaan dicapai itu adalah satu permulaan kepada perjalanan yang masih panjang dan jauh. Satu perjalanan menuntut ilmu yang bakal berhadapan dengan pelbagai pengalaman suka duka, onak dan duri.
Itulah kata-kata perangsang daripada Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga Yang Dipertua MAIK sempena Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan Darul Quran MAIK Bagi Tahun 2025 pada 25 Jun 2025.
Pada majlis ini, MAIK telah menobatkan adik Muhammad Aidil bin Mohd Zamri dengan PNGK 3.92 sebagai penerima Anugerah Tokoh Tahfiz.
Majlis yang berlangsung di Hotel Renai turut dihadiri Yang Berhormat Ustaz Mohd Asri bin Mat Daud ( Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri ), Yang Berhormat Sahibus Samahah Dato’ Kaya Perba, Dato’ Muhammad Shukri bin Muhammad ( Mufti Kerajaan Negeri Kelantan ), Yang Berhormat Dato’ Lela Perkasa Dato’ Haji Che Mohd Rahim bin Haji Jusoh ( Ahli Majlis MAIK ) dan Yang Amat Berbahagia, Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein ( Timbalan Yang Dipertua MAIK ).
Hadir sama, Yang Amat Berusaha Dr Hasnan bin Haji Ramli ( Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan ), Yang Berusaha Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim ( Pengarah Darul Quran JAKIM ) dan Al-Fadhil Ustaz Mahamad Azmi bin Zakaria ( Mudir Darul Quran MAIK ).
Pada majlis sama, Yang Berhormat Mulia juga mengingatkan, perjalanan yang mencabar dan mulia ini tidak seharusnya terhenti pada sesuatu tahap, malah perlu berterusan sepanjang hayat atau selagi hayat dikandung badan.
Oleh sebab itu, pihak MAIK sangat menggalakkan para pelajar tahfiz yang bernaung di bawah MAIK untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sama ada di dalam, mahupun di luar negara.
Hal ini supaya lebih ramai lagi golongan alim ulamak dan Ilmuan Islam dalam kalangan para pelajar Darul Quran MAIK dapat dilahirkan.
Selari dengan hasrat tersebut, pelbagai inisiatif dan bantuan telah dirangka dan ditawarkan kepada para pelajar sebagai dorongan dan galakan untuk mereka terus menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi selepas tamat pengajian di peringkat diploma.
Antaranya, MAIK melalui Unit Tajaan Pendidikan telah bersetuju memberikan biasiswa penuh kepada semua pelajar Darul Quran MAIK yang berjaya dengan mendapat purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 3.0 dan ke atas.
Kesemua pembiayaan elaun serta biasiswa yang diberikan khusus kepada para pelajar yang layak ini adalah hasil daripada kutipan wang zakat.
Terima kasih jua kepada semua pembayar zakat kami, kerana zakat andalah mereka boleh mendalami dan mencintai al-Quran. Doa kami, Allah SWT menggandakan ganjaran pahala berterusan buat kalian. Amin Ya Rabbal Alamin.
