PROGRAM PRA TAHFIZ DAN BAHASA ARAB DARUL QURAN MAIK TAHAP 1 CAPAI MATLAMAT PENGANJURAN
- Written by: admin
- Published in Berita Tahun 2026
- Hits: 123

Program Pra Tahfiz dan Bahasa Arab Darul Quran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan ( MAIK ) telah dilaksanakan sebagai satu ruang intervensi awal yang dapat memberi peluang kepada peserta mengukuhkan asas hafazan dan bahasa Arab sebelum menyertai program diploma di Darul Quran MAIK.
Program ini melibatkan seramai 70 peserta, terdiri daripada 44 pelajar lelaki dan 26 pelajar perempuan diadakan di Moara Camp, Pulau Belanga, Kota Bharu sepanjang program berlangsung. Program ini bermula dengan hari pendaftaran pelajar pada 17 Januari 2026 yang berlangsung dengan lancar.
Pada hari tersebut, para pelajar turut diberikan penerangan berkaitan jadual pembelajaran, objektif program, peraturan institusi serta harapan pihak pengurusan terhadap komitmen mereka sepanjang tempoh program berlangsung.
Sepanjang tempoh sebulan pelaksanaan program, para pelajar telah mengikuti sesi pembelajaran intensif yang merangkumi pengukuhan asas hafazan al-Quran, penguasaan tajwid, serta kemahiran asas Bahasa Arab seperti perbendaharaan kata, struktur ayat dan komunikasi asas.
Kaedah pengajaran yang digunakan adalah bersifat interaktif dan berpusatkan pelajar, termasuk aktiviti latih tubi, hafazan berkala, pembelajaran berkumpulan serta aktiviti komunikasi seperti dialog dan simulasi situasi harian. Pendekatan ini bertujuan memastikan pelajar bukan sahaja memahami teori, malah mampu mengaplikasikan kemahiran secara praktikal sebagai persediaan untuk pembelajaran lanjutan.
Selain itu, program ini juga menekankan pembentukan sahsiah, disiplin dan adab pelajar selaras dengan matlamat pendidikan tahfiz. Pemantauan berterusan oleh tenaga pengajar telah membantu mengenal pasti tahap pencapaian pelajar secara individu, seterusnya membolehkan bimbingan khusus diberikan kepada mereka yang memerlukan sokongan tambahan.
Hasilnya, majoriti pelajar menunjukkan peningkatan ketara dari segi kelancaran hafazan, keyakinan bertutur dalam Bahasa Arab serta sikap positif terhadap pembelajaran. Majlis penutup program diadakan pada 12 Februari 2026 menandakan berakhirnya keseluruhan pelaksanaan Program Pra Tahfiz dan Bahasa Arab Tahap 1. Majlis tersebut diisi dengan alunan ayat suci al-Quran oleh salah seorang peserta dan dihadiri oleh Al-Fadhil Ustaz Mahamad Azmi bin Zakaria, Mudir Darul Quran MAIK.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya sebagai platform persediaan akademik dan sahsiah, serta diyakini dapat membantu pelajar enyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran sebenar di Darul Quran MAIK. Pihak penganjur berharap agar ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar dalam perjalanan pendidikan mereka pada masa akan datang.
#MAIK2026
#DarulQuranMAIK
