KEM PENGUKUHAN BAHASA ARAB BAGI PERSEDIAAN IMTIHAN QABUL (PEPERIKSAAN KELAYAKAN) KE MESIR BAGI SESI PENGAJIAN OKTOBER 2025-MAC 2026
- Written by: admin
- Published in Berita Tahun 2026
- Hits: 70

Unit Pengajian Bahasa, Seksyen Hal Ehwal Akademik, Darul Quran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah mengadakan Kem Pengukuhan Bahasa Arab bagi Persediaan Imtihan Qabul ke Mesir pada 13 hingga 14 Februari 2026 di Gelora Beach Resort, Bachok.
Ia melibatkan seramai 17 peserta terdiri daripada pelajar semester 6 yang berhasrat melanjutkan pengajian ke Mesir. Penganjuran program ini adalah selaras dengan objektif institusi untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan akademik selaras dengan keperluan semasa pendidikan Islam.
Sepanjang pelaksanaan program, pelbagai pengisian telah dijalankan termasuk simulasi peperiksaan sebenar yang dibimbing oleh Al-Fadil Ustaz Mohd Ariff Fadhillah bin Amirudin, Konsultan Bahasa Arab dari Al Madina Arabic and Training Centre.
Selain itu, aktiviti pemantapan komunikasi Bahasa Arab seperti pertandingan ‘role play’ turut diladakan bagi memupuk memupuk keyakinan dan kecekapan pelajar dalam menggunakan Bahasa Arab secara lisan dalam situasi harian dan akademik, sekali gus sebagai persediaan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran, komunikasi masyarakat setempat serta urusan rasmi sepanjang tempoh pengajian mereka di Mesir kelak.
Pelajar dinilai berdasarkan kelancaran, isi kandungan, dan gaya bahasa yang digunakan semasa persembahan. Markah bagi kedua-dua jenis ujian ini diambil kira dan tiga pelajar dengan markah tertinggi telah dipilih sebagai pemenang.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjalan dengan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan hasil kerjasama yang baik antara jawatankuasa pelaksana dan pihak terlibat.
Hasil daripada penganjuran program ini, peserta didapati memperoleh manfaat yang signifikan terutamanya dari aspek peningkatan kefahaman bahasa, keyakinan berkomunikasi, kemahiran akademik.
Maklum balas yang diterima juga menunjukkan tahap kepuasan yang baik serta sokongan agar program seumpama ini diteruskan dan diperkasakan pada masa hadapan. Sehubungan itu, Unit Pengajian Bahasa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dan sokongan dalam menjayakan program ini.
Diharapkan penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan sebagai usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti akademik di Darul Quran MAIK.
#MAIK2026
#DQMAIK
