Organisasi

TIGA TAHUN PENUH PENGORBANAN : 32 PELAJAR DARUL QURAN MAIK BERJAYA KHATAM HAFAZAN 30 JUZUK

Majlis Khatam Hafazan Al-Quran Pelajar Darul Quran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bukan sekadar sebuah acara meraikan kejayaan menghafaz 30 juzuk kalam Allah, tetapi ia merupakan simbol perjalanan panjang yang penuh kesabaran, pengorbanan dan keikhlasan.

Di sebalik setiap hafiz dan hafizah diraikan ini sebenarnya tersimpan ribuan jam pengorbanan. Mereka bangun sebelum fajar, mengulang hafazan tanpa jemu dan menahan lelah demi memastikan ayat-ayat suci terpelihara dalam dada. Setiap halaman yang dihafaz adalah hasil pengorbanan masa, tenaga dan kesungguhan yang berterusan.

Namun di sebalik kejayaan itu, ada insan-insan yang turut berkongsi pahala yang besar iaitu ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan dan mendoakan kejayaan anak-anak mereka, serta para guru yang sabar membimbing dari huruf pertama hingga ke ayat terakhir.

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana pada hari ini kami meraikan seramai 32 pelajar semester enam sesi 2023 hingga 2026 yang telah berjaya mengkhatam hafazan al-Quran 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun pengajian dan lebih membanggakan ada diantaranya yang mengambil masa setahun lebih sahaja untuk menghafaz.

Alhamdulillah, segala usaha mereka bermakna dan pada hari ini insan terpilih ini diraikan pada Majlis Khatam Hafazan Al-Quran Pelajar Darul Quran MAIK Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji.

Mereka menerima sijil khatam yang disampaikan oleh Yang Amat Berbahagia, Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein, Timbalan Yang Dipertua MAIK dan turut dihadiri Yang Berusaha Tuan Haji Muhamad Rasani bin Ramli, Setiausaha MAIK bersama Al-Fadhil Ustaz Haji Mahamad Azmi bin Zakaria, Mudir Darul Quran MAIK.

Pada hari ini enam pelajar terpilih iaitu, Mohd Arman bin Mohd Yusoff, Muhammad Fairuz Mifzal bin Mohd Fayzal, Ahmad Rajab As-Thaqif bin Sumardi, Muti’ah binti Muhammad, Siti Khairiyah binti Abdul Aziz dan Athirah Balqis Binti Mohamad Marzuki telah menerima Anugerah Kecemerlangan Hafazan dan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500.

Di sebalik kegembiraan hari ini, kita juga tidak melupakan insan terpenting yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan adik-adik tahfiz ini. Yang mana keselesaan dinikmati adik-adik tahfiz kita adalah hasil sumbangan daripada pembayar zakat kami. Dengan harta yang diinfakkan kepada MAIK inilah turut dimanfaatkan bagi pembangunan pendidikan pelajar tahfiz.

Lihatnya pembayar kami, betapa besarnya pahala kalian, sesungguhnya ilmu adik-adik tahfiz yang sentiasa mengalir ini membawa ganjaran pahala kepada anda semua. Hanya Allah yang mampu membalas jaga kalian semua. Jom berzakat bersama MAIK.

Sesungguhnya, kejayaan para huffaz adalah peringatan kepada kita semua bahawa sesiapa yang mendekati al-Quran, Allah akan memuliakan kehidupannya di dunia dan di akhirat.

"Ya Allah, hiasi diri kami dengan hiasan ajaran al-quran, muliakan kami dengan berkat kemuliaan al-quran, serikan kami dengan ketinggian martabat al-quran, pakaikan kami dengan pakaian permata al-quran, masukkan kami ke syurga dengan syafaat al-quran, selamatkan kami daripada segala bencana di dunia dan azab di akhirat dengan berkat kehormatan al-quran. Cucuri rahmat kepada sekalian umat Nabi Muhammad SAW Ya Rahman Ya Rahim"

"Ya Allah, jadikan al-quran kepada kami semasa hidup di dunia sebagai rakan, di kubur sebagai peneman, pada hari kiamat sebagai pembantu, semasa di titian sirat menjadi penyuluh, semasa menuju syurga sebagai pendamping, dari neraka sebagai penghadang dan pendinding semasa menuju kebaikan. Jadikan al-quran kepada kami sebagai panduan dan ikutan. Dengan limpah kurnia, kemurahan dan kemuliaanMu Ya Allah Ya Karim. Amin Ya Rabbal Alamin"

flickrwww.flickr.com

HUBUNGI KAMI

  • Telefon : 09-7744363
  • Faksmili : 09-7715 773
  • Emel : dqm [at] e-maik [dot] my
  • Laman Rasmi : darulquran.e-maik.my
  • Aduan / Cadangan / Pertanyaan: eAduan MTQ

JUMLAH PENGUNJUNG

Today: 30
Yesterday: 37
This Week: 124
This Month: 598
Total: 11,278