MAIK LAHIRKAN DUA HUFFAZ DI SEBALIK JERIJI BESI
- Written by: admin
- Published in Berita Tahun 2026
- Hits: 12

Dalam kehidupan ini, tidak semua insan bermula dengan jalan yang mudah. Ada yang melalui liku ujian, tersasar arah, namun Allah SWT tidak pernah menutup pintu hidayah-Nya. Di situlah letaknya keindahan al-Quran sebagai cahaya yang membimbing, memulihkan dan mengangkat darjat insan.
Kisah sejarah kejayaan prospek Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan yang terletak di Pusat Pemulihan Akhlak Machang yang juga merupakan kumpulan huffaz pertama dilahirkan dari jeriji besi ini, menjadi bukti nyata bahawa al-Quran mampu mengubah kehidupan.
Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan, di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah dirasmikan oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan pada 16 Mei 2024 bersamaan 7 Zulkaedah 1445H. Sejak program ini dilaksanakan pada Disember 2023, dua orang huffaz telah berjaya dilahirkan, yang mampu mengkhatamkan hafalan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh yang singkat.
Meluahkan rasa kesyukuran atas kejayaan tersebut, Yang Berhormat Mulia, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga Yang Dipertua MAIK memaklumkan, kejayaan ini mencerminkan keberhasilan matlamat utama penubuhan sekolah, iaitu untuk melahirkan golongan hafiz dalam kalangan prospek atau dikenali sebagai mujahid, sekali gus membantu mereka memulihkan diri dan seterusnya menyumbang bakti kepada masyarakat.
Lebih membanggakan, salah seorang daripada mereka telah terpilih sebagai penerima Insentif Huffaz Al-Quran MAIK 2026. Ini membuktikan bahawa usaha yang lahir daripada keikhlasan dan kesungguhan tidak pernah sia-sia di sisi Allah SWT.
Pencapaian yang mulia ini kami hargai menerusi Majlis Khatam Perdana Hafazan Al-Quran Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan yang diadakan di Dewan Dato’ Mustafa bin Osman, Pusat Pemulihan Akhlak Machang dan turut dihadiri Yang Mulia Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati binti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tengku Puan Temenggong Kelantan.
Majlis yang dihadiri ibu bapa dan ahli keluarga terdekat tersebut turut dihadiri Yang Dihormati TKJP Zaidi bin Hamid, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pengurusan) Jabatan Penjara Malaysia mewakili Yang Berbahagia KJP Datuk Komisioner Jeneral Malaysia dan Yang Amat Berbahagia Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein, Timbalan Yang Dipertua MAIK.
Pada majlis petang semalam, Yang Berhormat Mulia, Tengku Temenggong Kelantan turut menyampaikan sumbangan kepada 23 mujahid sekolah tahfiz tersebut dan juga penyampaian saguhati serta sijil penghargaan khatam.
Selain itu, Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan juga menyampaikan sumbangan Wakaf Sultan Mansor berjumlah RM160,000 kepada Yang Dihormati Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pengurusan) Jabatan Penjara Malaysia.
Program ini yang pada awalnya mendapat sambutan yang baik dengan menerima 121 permohonan daripada prospek, namun hanya 60 peserta berjaya melepasi tapisan dan penilaian oleh jawatankuasa panel penilai yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Sahibus Samahah Dato’ Kaya Perba, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, serta dianggotai oleh orang ahli panel yang berpengalaman dan pakar dalam bidang al-Quran.
Program ini menawarkan insentif berjumlah RM7,200 setahun atau RM600 sebulan bagi setiap orang sebagai ganjaran kepada para penerima dan diberikan peranan untuk mengetuai program Muraja’ah Hafazan Al-Quran di masjid-masjid terpilih seluruh Negeri Kelantan.
Bagi mujahid Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan yang menerima insentif ini, beliau berperanan mengajar prospek yang lain dalam proses pembelajaran dan hafazan al-Quran, khususnya di Pusat Pemulihan Akhlak, Machang. Dimaklumkan juga program tahfiz al-Quran ini dibiayai dengan dua sumber utama, iaitu dana zakat dan Wakaf Sultan Mansor.
Dalam upaya menjayakan program ini, pihak MAIK turut berhadapan dengan kekangan dalam aspek pengurusan seperti tempoh penahanan mujahid yang agak singkat, ditambah pula dengan situasi di mana terdapat dalam kalangan mereka yang menerima perintah parol sebelum sempat mengkhatamkan hafalan 30 juzuk al-Quran di sekolah ini.
Walau bagaimanapun, usaha murni ini tetap diteruskan tanpa terhalang oleh perkara tersebut dengan kerjasama pihak Jabatan Penjara, MAIK telah mengambil inisiatif menempatkan para mujahid yang menerima perintah parol di masjid-masjid terpilih, bagi membolehkan mereka meneruskan proses hafazan.
Masjid yang terlibat ialah Masjid Jamek As-Salam, Pengkalan Chepa, Masjid Jamek Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Rantau Panjang. Masjid Jamek Sultan Muhammad I, Jeli. Masjid ini telah bersedia untuk berperanan sebagai pusat parol yang menjadi kesinambungan kepada pembelajaran al-Quran, sekali gus memastikan usaha melahirkan huffaz dapat diteruskan tanpa terhenti di pertengahan jalan.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada pembayar zakat, pewakaf dan pihak Jabatan Penjara Malaysia, para penyelia Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan dan membantu perjalanan kelas hafazan ini.
Kepada ibu bapa dan ahli keluarga mujahid yang hadir, bersama kita berikan sokongan kepada mereka untuk terus bersemangat menghafaz al-quran seterusnya menjadikan al-Quran sebagai perisai diri daripada perkara yang mungkar.
Semoga usaha murni ini sesuai dengan sabdaan Baginda Nabi SAW yang bermaksud:
“Sebaik-baik dari kalangan kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran lalu dia mengajarkannya.” [Hadis Riwayat Al-Bukhari, 5027]
