Organisasi

SESI ORIENTASI PELAJAR BAHARU DARUL QURAN MAIK

Pada 4 Mei 2026, Darul Quran Majlis Agama Islam dan Adat Isitiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah menerima kemasukan kumpulan pelajar baharu seramai 30 lelaki dan 20 perempuan bagi sesi pengajian 2026/2029. Sesi pendaftaran beserta taklimat umum berkaitan MAIK serta seksyen-seksyen yang terdapat di Darul Quran MAIK telah dilaksanakan khusus sebagai makluman kepada para ibu bapa dan penjaga pelajar baharu. 

Sesi orientasi pelajar baharu diadakan bermula pada petang 4 Mei sehingga 7 Mei 2026 dengan melibatkan kesemua pelajar baharu Darul Quran MAIK yang dibantu oleh 23 fasilitator terdiri daripada  Majlis Perwakilan Pelajar Darul Quran MAIK dan para alumni Darul Quran MAIK.

Sepanjang sesi orientasi berlangsung, terdapat pelbagai pengisian yang dirangka oleh Unit Pengurusan Modul Orientasi, antaranya sesi taklimat oleh Seksyen Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Unit Al-Quran, Unit Peperiksaan, Unit Disiplin, Unit Pengurusan Asrama, Unit Kaunseling, Unit Kokurikulum dan Unit Pengurusan Pelajar.

Selain daripada pengisian yang berbentuk akademik, pengisian kerohanian dan motivasi juga telah dilaksanakan dengan Sesi Bicara Santai Bersama Alumni yang mana pada sesi ini, alumni Maahad Qiraat Shoubra telah dijemput untuk perkongsian berkaitan pengalaman sepanjang tempoh pembelajaran mereka di Darul Quran MAIK serta di peringkat ijazah di Shoubra, Mesir.

Selain itu, slot Hamalatul Quran yang buat pertama kalinya diperkenalkan pada tahun ini, telah  disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Sayed Ahmad Ridwan bin Sayed Md Zain, iaitu Penolong Pengarah Latihan dan Penyelidikan Yayasan Amanah Tok Kenali telah berjaya memberi impak sangat besar ke dalam diri pelajar baharu terutama berkaitan adab, akhlak dan pembawaan diri mereka sebagai hafiz al-Quran.

Bagi meningkatkan keyakinan dan mencungkil keberanian dalam kalangan pelajar baharu, sepanjang minggu orientasi berlangsung, mereka secara bergilir telah dipilih bagi menjadi imam, bilal dan pentazkirah bagi setiap slot kerohanian yang telah ditetapkan. Pengisian lain yang turut dimuatkan juga adalah slot latihan dalam kumpulan bersama para fasilitator, sesi senaman pagi dan riadah serta Malam Talentime iaitu malam kebudayaan yang bertemakan Islam.

Majlis penutup minggu orientasi ini diadakan pada 7 Mei 2026 di Dewan Huffaz, Darul Quran MAIK, dirasmikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mahamad Azmi bin Zakaria, Mudir Darul Quran MAIK.

Selain daripada untaian nasihat yang disampaikan khusus oleh Al-Fadhil Mudir kepada para pelajar, majlis penutup ini juga telah diisi dengan penyampaian hadiah kepada para pelajar serta sijil penghargaan untuk para fasilitator yang telah banyak membantu memberikan sumbangan sepanjang berlangsungnya Program Pendaftaran dan Minggu Orientasi Pelajar Baharu Darul Quran MAIK Sesi Pengajian 2026/2029. 

Diharapkan, para pelajar baharu dapat mengambil segala input yang telah dikongsi dan disampaikan sepanjang minggu orientasi ini sebagai bekalan mereka bergelar pelajar di Darul Quran MAIK sepanjang 6 semester pengajian. 

#MAIK2026
#DARULQURANMAIK

 


flickr
www.flickr.com

HUBUNGI KAMI

  • Telefon : 09-7744363
  • Faksmili : 09-7715 773
  • Emel : dqm [at] e-maik [dot] my
  • Laman Rasmi : darulquran.e-maik.my
  • Aduan / Cadangan / Pertanyaan: eAduan MTQ

JUMLAH PENGUNJUNG

Today: 30
Yesterday: 37
This Week: 124
This Month: 598
Total: 11,278